Monday, December 28, 2009

Gagasan 1Malaysia Dari Perspektif Islam

1Malaysia Dari Perspektif Islam.

Gagasan 1Malaysia yang dijelaskan oleh YAB Dato' Sri Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak , antara lain bermaksud , " Kita berdiri, kita berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia ( One People) . Dan kita mengambil tindakan-tindakan berdasarkan kehendak semua kumpulan etnik dalam negara kita" .

Apa yang menjadi fokas kita ialah fakta yang terkandung di dalam kata-kata " kita mengambil tindakan berdasarkan kehendak semua kumpulan etnik dalam negara kita" . Ungkapan ini membawa mesej bahawa melalui konsep Satu Malaysia , kerajaan menyatakan komitmennya untuk melayani dan menjaga kebajikan semua warganegara tanpa mengira agama dan bangsa .

Keselarasan gagasan Satu malaysia dengan ajaran Islam boleh dilihat dan ditinjau melalui aspek-aspek berikut :
a- Ciri-ciri ajaran Islam
b- Objektif penurunan syariat Islam
c- Kedudukan manusia pada pandangan Islam
d- Perlembagaan hubungan antara orang Islam dan bukan
Islam .

A- Ciri-ciri Agama Islam
Agama Islam memiliki beberapa sifat dan ciri-ciri tertentu yang membezakannya dengan agama atau ideologi lain .Antara ciri-ciri Islam ialah Insaniyyah ( kemanusiaan) . Antara maksud Insaniyyah ialah syariat Islam menghormati manusia , memelihara kemuliaan dan hak-hak manusia . Manusia secara jelas dimuliakan oleh Islam seperti yang dinyatakan dalam Al-Quran dalam surah Al-Isra' ayat 70 , yang bermaksud, " Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan Bani Adam....." . Mereka di atas dasar mereka adalah manusia , tanpa melihat kepada keturunan , warna kulit , bahasa , tanahair ,kedudukan dan agama .

Prinsip kemuliaan manusia yang dipasakkan oleh ajaran Islam ini bukan sekadar teori . Ia dipamerkan sendiri oleh nabi Muhammad s.a.w. dalam amalan dan perbuatan Baginda s.a.w. serta menjadi ikutan umat Islam selepas Baginda s.a.w. Antara contoh praktikal yang ditunjukkan Nabi s.a.w. ialah hadis yang diriwayatkan oleh Jabir bin Abdullah r.a. Beliau menceritakan, " Ada satu jenazah [diusung] melintasi Nabi s.a.w. lantas Baginda s.a.w. bangun dan berdiri [sebagai menghormatinya], lantas dikatakan kepada Baginda , " Wahai Rasulullah , sesungguhnya ia adalah jenazah seorang Yahudi!" . Baginda s.a.w. menjawab , " Bukankah ia jiwa [ yang bernyawa] ? " .

Mengambil semangat daripada kemuliaan manusia ini , umat Islam sepanjang zaman tidak menzalimi bukan Islam yang berada di dalam negara Islam dan berlaku adil ke atas mereka . Tiada bukti yang lebih jelas bagi hakikat ini selain daripada perakuan yang diberikan oleh sarjana-sarjana bukan Islam seperti Gustave Le Bon , seorang sarjana Perancis . Di dalam bukunya , yang bertajuk Arabic Civilization , beliau mencatatkan , " toleransi Muhammad s.a.w. terhadap orang-orang Yahudi dan Kristian sangat tinggi dan [ toleransi sebegitu tinggi] tidak pernah dilakukan oleh mana-mana pengasas Agama yang lahir sebelumnya , seperti agama Yahudi dan Nasrani[Kristian] . Kita dapat melihat bagaimana pemimpin-pemimpin selepasnya mengikuti jejak langkahnya [ dalam soal ini] . Sesetengah sarjana Eropah yang ragu-ragu [tentang keindahan Islam] atau yang mempercayai [ keelokan Islam] mengakui toleransi tersebut " .

B- Objektif Penurunan Syariat Islam
Ajaran Islam diturunkan oleg Allah kepada umat manusia melalui Jibril a.s. kepada Nabi Muhammad s.a.w. bagi mencapai beberapa objektif , antaranya menegakkan keadilan dan menghapuskan kezaliman . Al-Quran dengan jelas mengatakan , antar tujuan diturunkan syariat Islam ialah untuk menegakkan keadilan . Firman Allah dalam Surah Al-Hadid ayat 25 yang bermaksud , " Demi sesungguhnya , Kami telah mengutuskan rasul-rasul Kami dengan membawa bukti-bukti dan mukjizat yang jelas nyata , dan Kami telah menurunkan bersama-sama mereka kitab suci dan keterangan yang menjadi neraca keadilan , supaya manusia dapat menegakkan keadilan " . Sejajar dengan itu , Allah memerintahkan umat Islam amnya dan para pemimpin mereka khasnya . agar memerintah dengan adil , tanpa mengira agama dan bangsa rakyat yang diperintah .

Allah berfirman , " sesungguhnya Allah memerintahkan kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya [yang berhak menerima] , dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia , [Allah menyuruh] kamu menghukum dengan adil " . Sabda s.a.w. " Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap pemimpin bertanggungjawab ke atas orang yang dipimpinnya " . Bergerak seiring dengan prinsip keadilan ini , Islam mewajibkan para pemimpin Islam berlaku adil ke atas warganegara bukan Islam yang menetap dalam negara Islam . Bukan sekadar itu sahaja , bahkan Nabi s.a.w. memberi amaran keras kepada pemimpin Islam dan umat Islam yang menzalimi warganegara bukan Islam yang mendiami negara Islam . Rasulullah s.a.w. bersabda , " Sesiapa yang menyakiti orang zimmi , maka sesungguhnya dia telah menyakitiku , sesiapa yang menyakitiku , sesungguhnya dia telah menyakiti Allah " .

Keadilan Islam terhadap bukan Islam begitu terserlah apabila Islam menghormati apa yang dianggap harta bernilai oleh bukan Islam ,meskipun pada pandangan Islam ia adalah benda yang keji . Dengan sebab itu , sesiapa yang merosakkan arak atau babi milik orang Islam , individu tersebut TIDAK dikenakan denda atau hukuman . Bahkan pada pandangan Islam , individu ini beroleh pahala pula . TETAPI , jika arak dan babi itu milik rakyat bukan Islam , orang yang merosakkan diwajibkan membayar ganti rugi . Selain itu Islam juga diturunkan bagi membawa rahmat kepada umat manusia sejagat seperti mana Firman Allah dalam surah Al-Ambia ayat 107 yang bermaksud " Dan tidaklah Kami mengutuskanmu [Wahai Muhammad] melainkan bagi menjadi rahmat kepada seluruh alam . Sehubungan itu Islam tidak menzalimi bukan Islam malah berlaku adil ke atas mereka .

C- Manusia Pada Pandangan Islam
Pada kacamata Islam , manusia adalah makhluk yang dimuliakan oleh Allah sebgaimana FirmanNya , " dan sesungguhnya Kami telah memuliakan bani Adam.." . Sebagaimana yang telah dinyatakan sebelum ini , manusia dimuliakan kerana kemanusiaannya bukan kerana unsur luaran lain . Sebagai makhluk yang dimuliakan Allah , manusia juga berasal dari permulaan yang sama iaitu daripada seorang bapa dan seorang ibu iaitu Nabi Adam dan Siti Hawa . Hal ini Allah berfirman dalam Al-Quran bermaksud , " Wahai umat manusia , sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari seorang lelaki dan perempuan " . Keadaan ini akan membentuk sikap toleransi dan berlaku adil sesama manusia sejagat .

D- Perlembagaan hubungan antara orang Islam dan Bukan Islam.
Asas atau perlembagaan yang diletakkan Islam dalam mengatur hubungan antara orang Islam dan Bukan Islam ialah Firman Allah yang bermaksud : " Allah tidak melarang kamu dari berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana [kamu] dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanya melarang kamu daripada menjadikan teman rapat kepada orang-orang yang memerangi kamu kerana agama kamu dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu orang lain untuk mengusir kamu . Dan ingatlah , sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat , maka mereka itulah orang-orang yang zalim " .

Umat Islam dituntut berbuat baik dan berlaku adil kepada bukan Islam meskipun mereka orang-orang yang mengkufuri agama Islam selama mana mereka tidak menentangnya dan memerangi pendakwahnya atau menindas pengikutnya . Justeru , segala tindak tanduk pemimpin Islam wajib tertakluk kepada perlembagaan atau asas yang dinyatakan .

Tuesday, November 24, 2009

Petanda Pas alami krisis tenat

Desas desus mengenai hasrat Exco kanan kerajaan negeri Kelantan, Datuk Husam Musa mahu meletakkan jawatan parti dan kerajaan petanda kegawatan politik sedang berlaku dalam Pas.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pihaknya percaya Pas menghadapi krisis kepimpinan yang tenat seperti terjadi dalam parti pembangkang lain.

Beliau berkata, meskipun perkara itu dinafikan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tetapi semakin banyak masalah terdedah di kalangan khalayak umum.

"Itu petanda tentang kegawatan politik yang banyak berlaku dalam parti pembangkang termasuk Pas dan yang jelas ia membuktikan ada krisis yang tenat.

"Pemimpin Pas tidak mahu menunjukkan mereka bermasalah tetapi ternyata daripada kenyataan pemimpin-pemimpin (Pas), mereka ada masalah yang besar," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan bangunan Pusat Perkhidmatan Global Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di sini hari ini.

Laporan muka depan Mingguan Malaysia semalam menyiarkan mengenai Husam yang dikatakan mahu melepaskan semua jawatan dalam parti dan juga kerajaan negeri.

Hasrat itu bagaimanapun tidak dipersetujui Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar dan Husam dipercayai diberi cuti selama lima hari bermula semalam untuk berehat kerana masalah tulang belakang.

Tindakan Husam melepaskan jawatan dalam parti dan kerajaan negeri dikatakan berpunca daripada pendedahan kemelut dalaman Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) yang diterajui Ir. Abdul Ariffahmi Ab. Rahman.

Pas Kelantan tidak lagi perjuangkan Islam?

Pemuda UMNO Kelantan menyifatkan Pas negeri tidak lagi memperjuangkan Islam seperti yang dilaung-laungkan sebelum ini tetapi lebih sibuk membahagikan 'harta perang'.

Ketuanya, Anuar Safian berkata, pemimpin parti terbabit pada masa kini menjadikan kuasa yang dimiliki mereka untuk mengumpul aset dan keuntungan sehingga mengabaikan rakyat.

Beliau berkata, oleh kerana kegiatan itu tidak lagi dapat dibendung dan semakin merebak, kepimpinan Pas Kelantan dipercayai telah berpecah sehingga wujud sekurang-kurangnya tiga kumpulan.

"Kesemua kumpulan ini sedang sibuk mengaut keuntungan dari kerajaan negeri ini sehingga melupakan dasar perjuangan mereka iaitu Islam.

"Mereka telah lupa semua perjuangan sebelum ini kerana terlalu lama berkuasa dan disebabkan itu mereka mengagihkan hasil negeri ini seperti balak seperti membahagikan 'harta perang'," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kemelut dalaman Pas Kelantan bermula dari pendedahan masalah yang berlaku dalam Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) yang diterajui menantu Menteri Besar, Nik Abdul Aziz Nik Mat, Ir. Abdul Ariffahmi Ab. Rahman.

Pada masa yang sama juga, Nik Abdul Aziz mengakui menerima tajaan haji sebanyak RM65,000 daripada individu tertentu.

Anwar dakwa polis ikut telunjuk UMNO batalkan ceramahnya

Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa pihak polis mengikut telunjuk UMNO apabila ceramah yang dihadirinya di Kulai, Johor semalam terpaksa dibatalkan.

Katanya, alasan pihak polis terhadap pembatalan ceramah anjuran pakatan pembangkang negeri itu tidak masuk akal.

"Tidak wajar polis mengikut telunjuk UMNO dan akur kepada sebilangan ahli yang bersikap biadap," katanya di dalam blog http://anwaribrahimblog.com.

Katanya lagi, ceramah yang turut dihadiri oleh bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Chua Jui Meng terpaksa dibatalkan kerana permit yang dikeluarkan ditarik balik.

Ia berikutan bantahan daripada kira-kira 30 orang ahli Pemuda UMNO.

Menurutnya, beliau hanya sempat menyampaikan ceramah selama 10 minit sebelum semua yang hadir bersurai.
"Nyata alasan ini tidak masuk akal. Apakah selepas ini jika rakyat beramai-ramai membantah sebarang majlis anjuran UMNO, maknanya ia akan dibatalkan?'' soalnya.