1Malaysia Dari Perspektif Islam.
Gagasan 1Malaysia yang dijelaskan oleh YAB Dato' Sri Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak , antara lain bermaksud , " Kita berdiri, kita berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia ( One People) . Dan kita mengambil tindakan-tindakan berdasarkan kehendak semua kumpulan etnik dalam negara kita" .
Apa yang menjadi fokas kita ialah fakta yang terkandung di dalam kata-kata " kita mengambil tindakan berdasarkan kehendak semua kumpulan etnik dalam negara kita" . Ungkapan ini membawa mesej bahawa melalui konsep Satu Malaysia , kerajaan menyatakan komitmennya untuk melayani dan menjaga kebajikan semua warganegara tanpa mengira agama dan bangsa .
Keselarasan gagasan Satu malaysia dengan ajaran Islam boleh dilihat dan ditinjau melalui aspek-aspek berikut :
a- Ciri-ciri ajaran Islam
b- Objektif penurunan syariat Islam
c- Kedudukan manusia pada pandangan Islam
d- Perlembagaan hubungan antara orang Islam dan bukan
Islam .
A- Ciri-ciri Agama Islam
Agama Islam memiliki beberapa sifat dan ciri-ciri tertentu yang membezakannya dengan agama atau ideologi lain .Antara ciri-ciri Islam ialah Insaniyyah ( kemanusiaan) . Antara maksud Insaniyyah ialah syariat Islam menghormati manusia , memelihara kemuliaan dan hak-hak manusia . Manusia secara jelas dimuliakan oleh Islam seperti yang dinyatakan dalam Al-Quran dalam surah Al-Isra' ayat 70 , yang bermaksud, " Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan Bani Adam....." . Mereka di atas dasar mereka adalah manusia , tanpa melihat kepada keturunan , warna kulit , bahasa , tanahair ,kedudukan dan agama .
Prinsip kemuliaan manusia yang dipasakkan oleh ajaran Islam ini bukan sekadar teori . Ia dipamerkan sendiri oleh nabi Muhammad s.a.w. dalam amalan dan perbuatan Baginda s.a.w. serta menjadi ikutan umat Islam selepas Baginda s.a.w. Antara contoh praktikal yang ditunjukkan Nabi s.a.w. ialah hadis yang diriwayatkan oleh Jabir bin Abdullah r.a. Beliau menceritakan, " Ada satu jenazah [diusung] melintasi Nabi s.a.w. lantas Baginda s.a.w. bangun dan berdiri [sebagai menghormatinya], lantas dikatakan kepada Baginda , " Wahai Rasulullah , sesungguhnya ia adalah jenazah seorang Yahudi!" . Baginda s.a.w. menjawab , " Bukankah ia jiwa [ yang bernyawa] ? " .
Mengambil semangat daripada kemuliaan manusia ini , umat Islam sepanjang zaman tidak menzalimi bukan Islam yang berada di dalam negara Islam dan berlaku adil ke atas mereka . Tiada bukti yang lebih jelas bagi hakikat ini selain daripada perakuan yang diberikan oleh sarjana-sarjana bukan Islam seperti Gustave Le Bon , seorang sarjana Perancis . Di dalam bukunya , yang bertajuk Arabic Civilization , beliau mencatatkan , " toleransi Muhammad s.a.w. terhadap orang-orang Yahudi dan Kristian sangat tinggi dan [ toleransi sebegitu tinggi] tidak pernah dilakukan oleh mana-mana pengasas Agama yang lahir sebelumnya , seperti agama Yahudi dan Nasrani[Kristian] . Kita dapat melihat bagaimana pemimpin-pemimpin selepasnya mengikuti jejak langkahnya [ dalam soal ini] . Sesetengah sarjana Eropah yang ragu-ragu [tentang keindahan Islam] atau yang mempercayai [ keelokan Islam] mengakui toleransi tersebut " .
B- Objektif Penurunan Syariat Islam
Ajaran Islam diturunkan oleg Allah kepada umat manusia melalui Jibril a.s. kepada Nabi Muhammad s.a.w. bagi mencapai beberapa objektif , antaranya menegakkan keadilan dan menghapuskan kezaliman . Al-Quran dengan jelas mengatakan , antar tujuan diturunkan syariat Islam ialah untuk menegakkan keadilan . Firman Allah dalam Surah Al-Hadid ayat 25 yang bermaksud , " Demi sesungguhnya , Kami telah mengutuskan rasul-rasul Kami dengan membawa bukti-bukti dan mukjizat yang jelas nyata , dan Kami telah menurunkan bersama-sama mereka kitab suci dan keterangan yang menjadi neraca keadilan , supaya manusia dapat menegakkan keadilan " . Sejajar dengan itu , Allah memerintahkan umat Islam amnya dan para pemimpin mereka khasnya . agar memerintah dengan adil , tanpa mengira agama dan bangsa rakyat yang diperintah .
Allah berfirman , " sesungguhnya Allah memerintahkan kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya [yang berhak menerima] , dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia , [Allah menyuruh] kamu menghukum dengan adil " . Sabda s.a.w. " Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap pemimpin bertanggungjawab ke atas orang yang dipimpinnya " . Bergerak seiring dengan prinsip keadilan ini , Islam mewajibkan para pemimpin Islam berlaku adil ke atas warganegara bukan Islam yang menetap dalam negara Islam . Bukan sekadar itu sahaja , bahkan Nabi s.a.w. memberi amaran keras kepada pemimpin Islam dan umat Islam yang menzalimi warganegara bukan Islam yang mendiami negara Islam . Rasulullah s.a.w. bersabda , " Sesiapa yang menyakiti orang zimmi , maka sesungguhnya dia telah menyakitiku , sesiapa yang menyakitiku , sesungguhnya dia telah menyakiti Allah " .
Keadilan Islam terhadap bukan Islam begitu terserlah apabila Islam menghormati apa yang dianggap harta bernilai oleh bukan Islam ,meskipun pada pandangan Islam ia adalah benda yang keji . Dengan sebab itu , sesiapa yang merosakkan arak atau babi milik orang Islam , individu tersebut TIDAK dikenakan denda atau hukuman . Bahkan pada pandangan Islam , individu ini beroleh pahala pula . TETAPI , jika arak dan babi itu milik rakyat bukan Islam , orang yang merosakkan diwajibkan membayar ganti rugi . Selain itu Islam juga diturunkan bagi membawa rahmat kepada umat manusia sejagat seperti mana Firman Allah dalam surah Al-Ambia ayat 107 yang bermaksud " Dan tidaklah Kami mengutuskanmu [Wahai Muhammad] melainkan bagi menjadi rahmat kepada seluruh alam . Sehubungan itu Islam tidak menzalimi bukan Islam malah berlaku adil ke atas mereka .
C- Manusia Pada Pandangan Islam
Pada kacamata Islam , manusia adalah makhluk yang dimuliakan oleh Allah sebgaimana FirmanNya , " dan sesungguhnya Kami telah memuliakan bani Adam.." . Sebagaimana yang telah dinyatakan sebelum ini , manusia dimuliakan kerana kemanusiaannya bukan kerana unsur luaran lain . Sebagai makhluk yang dimuliakan Allah , manusia juga berasal dari permulaan yang sama iaitu daripada seorang bapa dan seorang ibu iaitu Nabi Adam dan Siti Hawa . Hal ini Allah berfirman dalam Al-Quran bermaksud , " Wahai umat manusia , sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari seorang lelaki dan perempuan " . Keadaan ini akan membentuk sikap toleransi dan berlaku adil sesama manusia sejagat .
D- Perlembagaan hubungan antara orang Islam dan Bukan Islam.
Asas atau perlembagaan yang diletakkan Islam dalam mengatur hubungan antara orang Islam dan Bukan Islam ialah Firman Allah yang bermaksud : " Allah tidak melarang kamu dari berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana [kamu] dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanya melarang kamu daripada menjadikan teman rapat kepada orang-orang yang memerangi kamu kerana agama kamu dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu orang lain untuk mengusir kamu . Dan ingatlah , sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat , maka mereka itulah orang-orang yang zalim " .
Umat Islam dituntut berbuat baik dan berlaku adil kepada bukan Islam meskipun mereka orang-orang yang mengkufuri agama Islam selama mana mereka tidak menentangnya dan memerangi pendakwahnya atau menindas pengikutnya . Justeru , segala tindak tanduk pemimpin Islam wajib tertakluk kepada perlembagaan atau asas yang dinyatakan .
Monday, December 28, 2009
Subscribe to:
Comments (Atom)